
21 Februari 2026 bersamaan 9 Ramadan 1447 – Majlis Iftar dan Solat Sunat Terawih telah berlangsung dengan penuh khusyuk dan tertib bertempat di Lembaga Hasil UTC Terengganu, melibatkan warga Akademi Tahfiz Lil Faaizin serta para jemputan. Penganjuran majlis ini bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga akademi dan masyarakat setempat.
Solat fardu Maghrib telah diimamkan oleh Ustaz Ikram Hadi bin Ruslan, yang merupakan guru di Akademi Tahfiz Lil Faaizin. Seterusnya, solat sunat Terawih telah dipimpin oleh Muhammad Annas Syarifatullah bin Hamidi, alumni Akademi Tahfiz Lil Faaizin, yang turut menjadi kebanggaan institusi.
Majlis ini bukan sahaja memberi peluang kepada para hadirin untuk bersama-sama menikmati juadah iftar, malah turut menjadi platform untuk menyemai nilai-nilai ukhuwah, kesyukuran dan penghayatan terhadap ibadah sepanjang bulan Ramadan. Pihak pengurusan Akademi Tahfiz Lil Faaizin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan majlis ini, serta berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi manfaat bersama.



