Tidakkah sampai berita kepada kalian bahawa al-Quran itu adalah sebuah lautan samudera yang luas?
Daripadanyalah tercabang segala ilmu umat terdahulu dan terkemudian sebagaimana tercabangnya sungai dari persisir dan muara pantainya.
Ketahuilah bahawa, para alim ulama’ dan orang-orang soleh terdahulu telah menongkah gelombang badai dan ombaknya samudera, lalu menemui belerang merah (al-Kibrit al-ahmar). Iaitu suatu bahan (dalam kisah-kisah rakyat) yang boleh berubah menjadi batu permata. Mereka telah menyelami ke dasarnya yang terdalam lalu mengeluarkan daripadanya delima merah (al-yaqut al-ahmar), mutiara berbunga (al-durr al-azhar) dan zabarjad hijau (al-zabarjad al-akhdar). Juga telah meneroka persisir-persisir pantainya lalu menemui batuan ambar yang putih bercahaya, serta gaharu yang basah dan segar. Lagi telah sampai ke pulau-pulaunya lalu menjumpai segala penawar yang teragung (al-tiryaq al-akbar) dan wangian kasturi yang terharum (al-misk al-adhfar).
Petikan Buku- Mutiara-Mutiara al-Quran oleh Imam al-Ghazali
PERJUANGAN YANG PASTI MENGUNTUNGKAN!
“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dengan limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya.”
(Surah Faathir, 35: 29-30)
PROGRAM TAHUNAN BENGKEL SMART HUFFAZ AKADEMI TAHFIZ LIL FAAIZIN
Kita selalu rancak ketika bersembang atau berborak tentang perniagaan, selalu menyebut tentang keuntungan-keuntungan yang diharapkan atau yang bakal diraih. Dapat projek itu dan ini, dapat melaksanakan idea-idea perniagaan yang baru dan pelbagai sudut perniagaan yang boleh mendatangkan keuntungan. Namun, kita harus akur bahawa duduk bersembang di kedai kopi tentang perniagaan tidak selamanya menjanjikan pulangan keuntungan kerana adakalanya ianya tidak dapat dicapai atau dilaksanakan. Justeru, amatlah merugi bagi orang yang beriman ketika diseru dan diajak untuk berbicara tentang al-Quran dan keuntungan-keuntungan daripadanya yang telah dijanjikan dan dijamin oleh Allah. Perniagaan yang belum pasti untung boleh luangkan masa berjam-jam sedangkan perniagaan yang pasti untung berapa banyak masa yang telah kita luangkan untuk mendapatkannya. Bahkan, walaupun hanya dengan membaca satu huruf sahaja daripada al-Quran ia telah menghasilkan keuntungan 10 kali ganda. Baru baca, belum diamalkan atau dilaksanakan lagi idea dan isi kandungannya… Subhanallah…
SABDA RASULULLAH SAW:
“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah Taala, maka dia beroleh satu kebaikan melaluinya dalam keadaan satu kebaikan sama seperti sepuluh kalinya. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim adalah satu huruff. Tetapi, alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi)
MENJADI PEJUANG AL-QURAN YANG DIMULIAKAN
Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a., beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya antara bentuk mengagungkan Allah Taala ialah memuliakan muslim yang telah tua, penghafaz al-Quran yang tidak melampaui batas-batas dan melupakannya, serta memuliakan pemerintah yang adil.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Jalan kemuliaan yang Allah bentangkan kepada insan-insan terpilih untuk bergelar penghafaz al-Quran adalah sebuah anugerah yang bernilai. Hadiah istimewa dari Allah untuk kebaikan mereka. Namun, anugerah ini tidak akan kekal bernilai apabila adab-adab sebagai seorang penghafaz al-Quran tidak diperjuangkan oleh kalian.
Seorang penghafaz al-Quran hendaklah mensucikan hatinya daripada segala kotoran dosa, maksiat dan godaan dunia serta tipu daya syaitan yang melalaikan daripada tanggungjawab. Hati perlu diperbaiki untuk menerima ilmu sebagaimana tanah perlu dibajak untuk bercucuk tanam.
Seorang pelajar perlu merendah diri di hadapan gurunya dan beradab dengan mereka kerana kemuliaan ilmu yang ada padanya. Kata penyair:
“Ilmu adalah musuh kepada pemuda yang meninggi diri, sebagaimana banjir adalah musuh kepada tempat yang tinggi.”
(Kitab At-Tibyaan – Imam Nawawi rh.)
Seorang pelajar hendaklah patuh kepada gurunya, berbincang dengannya dalam suatu urusan, menuruti kata-kata gurunya seperti seorang pesakit yang berakal menerima kata-kata seorang doktor pakar yang memberi nasihat.
Seorang pelajar hendaklah berusaha sungguh-sungguh untuk mengingati al-Quran dalam waktu lapang, cergas, keadaan tubuh badan yang kuat, fikiran yang cerdas dan kurangnya perkara-perkara yang mendatangkan kesibukan sebelum datangnya pelbagai halangan yang melemahkan semangat dan mendapat kedudukan yang tinggi..
Demikianlah antara adab yang perlu kalian perhatikan pada diri kalian agar kemuliaan selalu mengiringi hidup kalian serta menggembirkan hati kedua orang tua yang sangat berjasa pada diri kalian.
HADIAHKAN IBU BAPAMU DENGAN MAHKOTA KEMULIAAN!
Muaz bin Anas r.a. meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang membaca al-Quran dan beramal dengan kandungannya, maka Allah akan memakaikan mahkota pada kedua-dua ibu bapanya di hari kiamat. Sinarannya lebih cantik daripada sinaran matahari yang menerangi rumah-rumah di dunia. Maka, apa pula pandangan kamu tentang (ganjaran bagi) orang yang beramal dengan al-Quran ini?”
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Menghadiahkan kemuliaan kepada orang lain tidak mungkin dapat direalisasikan apabila kemuliaan itu tidak kita miliki. Pepatah ada menyebut:
“Tidak memiliki sesuatu, nescaya tidak mampu memberi”
Mahkota kemuliaan untuk kedua orang tua di akhirat ditawarkan kepada para penghafaz al-Quran yang turut memperjuangkan agar al-Quran benar-benar berfungsi dalam perjalanan kehidupannya dan memberi manfaat kepada orang lain. Justeru, firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 57 menjadi pedoman buat kalian tentang bagaimana al-Quran berfungsi dalam diri. Firman Allah:
“Al-Quran ini sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat dan mengambil iktibar (pelajaran).
(Surah Sad, 38: 29)
Terdapat empat fungsi asas al-Quran yang dinyatakan oleh Allah SWT melalui firmanNya:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
(Surah Yunus, 10: 57)
Menghafaz al-Quran adalah satu perjuangan yang mulia. Namun, kemuliaan itu mungkin hanya terbatas untuk diri penghafaznya. Justeru, kemuliaan al-Quran dapat dikongsikan pula kepada orang lain apabila kalian berusaha untuk memahami dan menghayati isi kandungannya serta berjuang untuk merealisasikan fungsi al-Quran itu sendiri dalam realiti kehidupan kalian seterusnya menyebarkannya.
HARGAILAH PEMBERIAN ALLAH & PERJUANGAN RASULULLAH SAW!
Firman Allah SWT:
“Alif Laam Raa. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap gelita kepada cahaya terang benderang dengan izin Tuhan mereka, iaitu menuju jalan Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.”
(Surah Ibrahim, 14: 1)
Al-Quran adalah anugerah Allah buat hamba-Nya yang dapat memandu kalian kepada jalan keselamatan di dunia sehingga akhirat. Allah SWT menurunkan al-Quran dan menyampaikannya melalui perutusan nabi Muhammad SAW yang sepanjang hidupnya berjuang untuk memastikan al-Quran ini sampai kepada kalian. Setiap peluh yang dikeluarkan, darah yang ditumpahkan serta rehat yang dikorbankan adalah demi umat baginda yang dikasihi. Nilai kasih dan sayang inilah yang telah baginda tonjolkan dalam catatan sejarah perjalanan hidup baginda. Tidakkah kalian berasa penting untuk menghargai pengorbanan insan yang menyayangi dan mengasihi kalian?
BERJUANGLAH SEHINGGA MENCAPAI KEJAYAAN ATAU SYAHID KERANANYA….
Coretan,
Mudir ATLF
Jom Masuk Akademi Tahfiz Lil Faaiin!
Sila layari : Pengambilan Pelajar Baharu 2022