Bengkel Smart Huffaz 2020 Akademi Tahfiz Lil Faaizin

07/09/2020

atlf-smart-huffah-2020-001

Al-Quran adalah sumber utama segala ilmu dan mempunyai fungsi dan peranan dalam membina kehidupan manusia yang bertamadun serta maju dalam segenap aspek kehidupan duniawi dan ukhrawi. Terdapat beberapa fungsi al-Quran yang Allah nyatakan agar manusia mengambil faedah daripadanya untuk kebaikan manusia sendiri. Antaranya ialah al-Quran berfungsi sebagai penasihat yang memberikan khabar gembira dan ancaman menakutkan, sebagai penawar yang mampu menyembuhkan pelbagai penyakit rohani dan jasmani manusia, sebagai petunjuk yang membimbing manusia agar berada pada landasan kebenaran serta menjadi wasilah buat manusia mendapat rahmat daripada Allah SWT.

”(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), – Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya untuk mereka yang memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil i’tibar.”

(Surah Saad, 38: 29)

Bengkel Smart Huffaz 2020 yang dianjurkan ini adalah bertitik tolak daripada ayat firman Allah SWT di atas yang bertujuan untuk merealisasikan matlamat ke arah Melahirkan Generasi Huffaz Rabbani yang Dinamik yang memiliki kemampuan membaca, Menghafaz, memahami, menghayati, serta mampu mengaplikasikan pengajaran-pengajaran daripada al-Quran dalam realiti kehidupan mereka.

Dalam program ini, peserta akan diberikan fokus agar dapat memperbaiki cara berfikir (Mind Setting) sebagai seorang pelajar tahfiz dan panduan serta strategi dan teknik untuk memaksimakan pencapaian diri melalui aktiviti-aktiviti dan pengisian yang diaturkan.

@ Akademi Tahfiz Lil Faaizin